KISAH MAYAT GURU AL-QURAN DIKEBUMI 7 TAHUN LALU MASIH SEMPURNA DAN WANGI..

Jenazah Allahyarham Maheran Jaaffar, seorang guru agama yang meninggal kira-kira 7 tahun lalu pada 2006 adalah antara 350 kubur yang turut digali semula untuk dipindahkan, ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi ketika kerja menggali tanah perkuburan tersebut kelmarin.

Waris melihat jenazah ahli keluarga mereka dibawa keluar.

Ketika dikeluarkan dari liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak kelmarin, jasad arwah Maheran didapati masih dalam keadaan sempurna.

“Ketika proses menggali dan mengeluarkan jasad arwah dilakukan, tiba-tiba seluruh kawasan tanah perkuburan ini berbau harum.”

 “Saya melihat sendiri kain kafan yang membaluti arwah masih berkeadaan baik. Ia tidak reput, sebaliknya hanya dikotori tanah,” kata Abdullah Abdul Karim, 74.

Abdullah adalah menantu kepada arwah Maheran Jaaffar yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 2006 ketika usia 74 tahun.

Rajin Zikir, Patuhi Suami

Abdullah berkata, dia yakin keistimewaan yang dikesan pada jasad arwah Maheran, berkait rapat dengan amalan arwah ibu mentuanya ketika hidup.

“Arwah rajin berzikir dan amalan itu dilakukan sebaik bangun daripada tidur. Malah, arwah tidak pernah mengambil sarapan sebelum berzikir. Arwah juga sangat patuh kepada suami selain rajin beribadah di masjid dan dia juga mengajar al-Quran kepada anak-anak jiran,” katanya.

Selain itu, Abdullah berkata, arwah ibu mentuanya yang agak pendiam juga seorang yang pemurah dan sering bersedekah.

“Saya bekerja sebagai penjaga di tanah perkuburan ini sejak 20 tahun lalu. Keadaan jasad arwah ibu mentua yang masih sempurna biarpun selepas tujuh tahun dikebumikan menunjukkan kebesaran Allah yang perlu dijadikan iktibar.”

“Saya juga bersyukur kerana segala proses menggali kubur dan memindahkan jasad ibu mentua saya serta jasad lain berjalan lancar,” katanya lagi.

Bertanggungjawab

Anak sulung Allahyarham Maheran, Hamisah Kassim, 67, berkata beliau terkejut dan hiba apabila dimaklumkan jenazah ibunya dalam keadaan wangi dan masih sempurna, termasuk kain kapan yang masih utuh.

“Kubur emak adalah yang pertama digali untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Wakaf di Kampung Tasek. Saya terharu diberitahu jenazah ibu masih elok dan wangi.

“Mungkin itu balasan yang diterima ibu kerana ketika hayatnya arwah mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Seingat saya, arwah sentiasa mengamalkan amalan berselawat, berzikir dan sering bersedekah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hamisah berkata, arwah ibunya juga seorang yang bertanggungjawab menjaga empat lagi adik-beradiknya dan seorang yang pendiam. Beliau turut bersyukur dan berharap roh arwah ibunya ditempatkan Allah bersama roh orang soleh.

Insan Berhati Mulia

Sementara itu, individu yang mengurus dan mengkafankan jenazah arwah Maheran, Wan Khatijah Wan Abas, 80, berkata, dia terharu apabila berpeluang melihat jenazah arwah digali semula dari kubur.

“Saya dapati tali pengikat dan kain kafan jenazah arwah masih cantik, seolah-olah sahabat saya ini baru meninggal dunia semalam.”

“Tiada langsung bahagian kain kafan yang rosak. Ini memang petunjuk daripada Allah kepada hamba-Nya. Saya bersyukur diberi peluang menatap kebesaran Allah ini,”katanya.

Menurut Wan Khatijah, ketika mengkafankan jenazah arwah Maheran lapan tahun lalu, ia cukup mudah dilakukan.

“Arwah memang insan berhati mulia. Ini balasan Allah untuk orang sebaik arwah,”katanya.

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Kisah Ini Berlaku Pada November 2013

Jenazah Isteri Harum Seperti Bunga Ros, Balasan Mentaati Suami

Saya mempunyai satu pengalaman yang ingin saya kongsi dengan pembaca. Mungkin cerita ini bermanfaat. Kalau baik, jadikanlah pedoman untuk sama-sama akhiri hidup dengan Husnul Khatimah.

Kejadian ini berlaku kepada saya lebih kurang beberapa tahun lalu. Ceritanya begini..

Suatu hari, saya telah mendapat panggilan daripada seorang lelaki yang meminta saya datang ke rumahnya untuk melihat ibunya yang sudah lama sakit.

Cuma kali ini ibunya kelihatan seperti sedang tidur, namun apabila dikejutkan, dia tidak sedarkan diri. Disebabkan permintaannya, saya tunaikan.

Petang itu saya telah pergi ke rumahnya yang terletak di sebuah kampung di Kuala Terengganu.

Sampai dirumahnya, saya lihat semua anak-anak duduk mengelilingi ibu mereka yang keras kaku tidak bergerak.

Sebaik memandang wajahnya, saya lihat wajahnya bersih. Bibirnya juga seolah-olah terukir dengan senyuman.

“Kenapa ni?” soal saya.

“Entahlah ustaz. Cuba tengok. Dari tengah hari tak bangun,” jawab anaknya yang menghubungi saya tadi.

Saya pun terus melihat dan mengamati wanita dihadapan saya itu. Mengikut pengalaman dan keadaannya, saya rasakan wanita itu telah pun meninggal dunia.

Tetapi wajahnya memang seolah-olah sedang tidur dan bila diperiksa nadinya, memang sudah tidak berdenyut.

Saya tidaklah pandai sangat, tetapi mengikut pengalaman saya merawat orang, saya tahu serba sedikit.

“Kalau ikut apa yang saya tengok, dah tak ada ni,” kata saya.

“Betul ke ustaz?” soal anaknya.

“Ya. Kalau nak kepastian lagi, baik call hospital. Minta mereka datang sahkan,” balas saya.

Keadaan masih lagi tenang. Waris-waris wanita itu tidak dapat menerima kata-kata saya. Beberapa orang anaknya juga sudah bergenang air mata.

Dalam keadaan itu, tiba-tiba kami tercium sesuatu. Ia begitu harum. Baunya seperti bunga ros. Sangat wangi.

“Eh, dari mana datang bau ni,” soal anaknya.

Saya hanya diamkan diri. Hati saya kuat mengatakan bau itu datang dari arah jenazah wanita itu.

Cuma saya tertarik untuk tahu apakah amalan wanita ini sehinggakan Allah muliakan jenazahnya sedemikian.

Tidak lama selepas itu, pihak hospital datang. Doktor melakukan pemeriksaan dan mengesahkan ibu mereka sudah meninggal dunia beberapa minit yang lalu.

Bererti sewaktu saya tiba, jenazah itu baru sahaja meninggal dunia.

Waktu itu, bau bunga ros sangat kuat. Seolah-olah ada taman di dalam bilik tersebut.

Bila saya perhatikan, wajahnya begitu bersih, cantik dan berseri, seolah-olah sedang tidur dalam keadaan senyum.

“Berapa umur emak ni?” soal saya.

“Dah 70 lebih ustaz,” balas anaknya.

Terkejut saya mendengar kata-kata anaknya. Kalau mengikut pengamatan, wajahnya seperti tidak lebih dari 50an. Memang nampak muda dan cantik. Kulit masih lagi tegang seperti orang muda.

“Betul ke?” saya bertanya lagi kerana sukar percaya.

Anak lelakinya pantas mengangguk.

Persiapan telah dibuat, namun saya belum lagi dapat jawapan apa yang saya ingin tahu.

Bukanlah hendak menyibuk tetapi sekurang-kurangnya apa yang saya tahu boleh menjadi iktibar kepada saya.

Tidak lama selepas itu, saya mendekati anak lelakinya itu. Saya duduk disebelahnya sambil bersembang.

Saya bertanya kepada anaknya. Saya nak tahu apa amalan ibunya sewaktu hidup? Lelaki itu seolah-olah pelik mendengar pertanyaan saya.

“Kenapa ustaz?” soalnya.

“Saja nak tahu,” balas saya ringkas.

Menurut lelaki itu, sewaktu hidup, arwah ibunya seorang yang baik. Dia tidak pernah sekalipun mendengar terkeluar daripada mulut ibunya berkata buruk tentang orang lain.

Walaupun orang lain berkata buruk tentang jiran-jiran, ibunya tetap berkata benda yang baik.

Dengan anak-anak juga dia tidak marah. Setiap masa terluang dia akan duduk membaca Al-Qur’an.

Paling anaknya ingat ialah sewaktu ayahnya tiada di rumah, ibunya tidak pernah keluar ke mana-mana sekalipun ke kedai membeli barang. Apabila mendapat izin, barulah ibunya akan keluar.

Selain itu, sekalipun dia tidak pernah mendengar ibunya meninggikan suara kepada arwah ayahnya.

Ibunya sentiasa melayan suaminya dengan baik. Apabila ayahnya makan, ibunya akan duduk disebelah.

Apa sahaja kehendak suaminya dituruti biarpun terpaksa bangun untuk membuat air pada waktu malam, dia akan bangun. Sekalipun dia tidak pernah ingkar permintaan suaminya.

Ibunya memang sangat taat dengan apa yang ayahnya katakan. Dia tidak pernah membantah.

Pintu Ke Syurga

Mendengar cerita anak arwah, saya mengangguk. Inilah rupanya balasan untuk isteri yang menghormati dan mentaati suaminya. Masyaa-Allah.

Mungkin disebabkan itulah Allah memuliakan jenazah wanita itu, disebabkan ketaatannya kepada suami. Wallahu a’lam.

“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat kelak supaya masuk syurga mengikut pintu mana yang ia suka (mengikut pilihannya).” Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani

Begitu senang sekali kan?

Sumber : iloveislam

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*