AWAS JANGAN TERTIPU!! INILAH CARA MEMBEZAKAN TELUR TIRUAN DAN TELUR ASLI DI PASARAN

Walaupun dah banyak orang share pasal benda ni, rasanya tak salah untuk Encik Billy share lagi sekali tentang benda ni. Lagi banyak orang share lagi bagus, lebih berkesan peringatan dan kesedaran kepada orang ramai.

Berikut adalah laporan yang dikeluarkan daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP):

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan pengguna di Malaysia supaya berhati-hati ketika membeli telur kerana terdapat telur tiruan dijual di pasaran.

Seorang pengguna datang ke pejabat CAP bersama sedulang telur yang agak luar biasa bentuknya. Menurut beliau, apabila dimasak, telur itu tidak berbau seperti telur biasa dan tidak mempunyai sebarang rasa. Oleh kerana beliau berasa ragu-ragu dengan kandungan telur yang dibelinya itu, beliau membawa telur-telur tersebut ke pejabat CAP dan terus membuat aduan mengenainya.

Selepas diperiksa, kami mendapati memang benar telur-telur tersebut mempunyai bentuk yang berbeza daripada biasa. Ia besar dan bila dipecahkan tidak kelihatan pusat telur (chalazae-bahan legap yang biasanya terdapat pada putih telur, membendung kuning telur pada bahagian tengah telur). Telur-telur itu juga tidak berbau seperti telur biasa. Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur.

Cara mengenal telur ayam tiruan:

Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.

Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara

Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.

Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.

Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.

Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan

Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.

Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.

Telur ayam tiruan jika digoreng akan menghasilkan gelembung-gelembung udara yang lebih banyak daripada telur ayam tulen.

Selain daripada itu,rasanya adalah lebih sedap berbanding telur tulen,manakala kulitnya lebih mudah pecah berbanding dengan yang tulen.Ciri-ciri lain adalah:-

Lebih besar dari yang tulen
Tidak berbau

Berkilat

Kasar

SM Mohamed Idris,
Presiden CAP.

Bahaya telur palsu

ISU pengeluaran telur yang dikatakan palsu baru-baru membuka mata kita betapa bahayanya menikmati apa yang kita suka tanpa mempedulikan dari mana sumbernya.

Seperkara lagi ialah, kita tidak menyangka ada pihak sedia mengambil kesempatan untuk mengaut untung tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain.

Demikian risiko yang kita tanggung apabila memakan telur yang dikatakan palsu.

Telur palsu itu dikatakan dihasilkan daripada bahan-bahan kimia yang sudah pasti mengundang bahaya kepada badan.

Telur palsu atau fake egg dikatakan dihasilkan di China kerana mereka berpendapat, menghasilkan telur palsu lebih murah berbanding memelihara ayam penelur.

“Tidak mustahil (menghasilkan telur palsu), kerana benda serumit manapun manusia boleh hasilkan inikan pula telur palsu,” kata Pengarah Institut Pertanian Tropika Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Zulkifli Idrus.

Beliau yang pakar menjalankan penyelidikan berkenaan ayam bagaimanapun berkata, sekiranya pereka telur palsu itu ingin bersaing dengan yang asli mereka terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi

Ini kerana, penternak memerlukan ratusan ribu ekor ayam penelur untuk memastikan mereka memperoleh keuntungan minimum sedangkan keuntungan yang sama boleh diperoleh dengan menternak ayam pedaging pada kuantiti yang jauh lebih rendah.

Ayam penelur pula hanya mengeluarkan hasil (mula bertelur) selepas 20 minggu sedangkan ayam daging sudah boleh dijual selepas lima minggu.

“Keuntungan menjual telur pula hanya dua atau tiga sen sebiji,” ujar beliau.

Apatah lagi sebiji telur asli dibentuk oleh ayam dalam tempoh 24 jam termasuk pembentukan cangkerang sahaja hampir 20 jam.

Oleh itu jika pihak yang menghasilkan telur tiruan berkata, mereka ingin menjual telur pada harga yang lebih murah, ia bertentangan dengan logik kerana bahan tambahan mineral yang perlu disuntik memerlukan kos yang tinggi.

“Saya kurang setuju jika telur tiruan ini murah. Banyak perkara perlu ditiru selain kuning, putih dan cangkerang telur.

“Ini termasuk kalaza dalam telur yang fungsinya memegang kuning telur. Ini saya rasa sukar ditiru,” katanya

Melainkan ada usaha untuk mengabui mata pembeli yang menggunakan taktik mencampurkan telur asli dan telur palsu untuk mengaut untung

Namun, bagi pengguna, Zulkifli memberi peringatan bahawa amat bahaya memakan telur palsu kerana ia dihasilkan daripada bahan kimia.

Mengenai isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa mereka menemui telur palsu di negeri itu, Zulkifli berkata, ia tidak mustahil berlaku.

Sumber: suaramedia.org